
Bermula di Sekolah Kebangsaan Terentang dan Sekolah Kebangsaan Chincin hingga Darjah Enam. Meneruskan di Madrasah al-Lughah al-Arabiyah Tangkak, Johor (hingga 1967) dan Sekolah Menengah Arab Maahad Johor (hingga 1971), kemudian Akademi Yayasan Anda, Kuala Lumpur (hingga 1974).
Meneruskan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Perundangan Islam dan memperoleh B.A. (Hons.) pada tahun 1979, diikuti Diploma Pendidikan di Kuliyah Tarbiyah al-Azhar. Mengikuti Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (9 Julai 1990 – 31 Mei 1991).
Berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan Agama di Jabatan Agama Islam Melaka (1982–1987), Pegawai Agama Daerah Alor Gajah (1987–1989), dan menanggung kerja Kadi Besar JAIM pada tahun 1989. Dilantik sebagai Kadi Melaka Tengah dan bertukar ke Pejabat Agama Daerah Alor Gajah pada 1 Julai 1995.
Memangku tugas Mufti Kerajaan Negeri Melaka mulai 1 April 1996 dan dilantik secara rasmi sebagai Mufti yang keempat pada 6 Disember 1996. Bersara wajib pada 22 September 2006 dan dilantik semula secara kontrak sehingga 22 September 2014. Beliau juga Ahli Majlis Agama Islam Melaka (1996–2014), Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka (1996–2014), serta Ahli Lembaga Pengarah dan Felo Pusat Zakat Melaka (2000–2014).
Beliau banyak menyampaikan kuliah agama di masjid seluruh Negeri Melaka dan menghadiri forum, seminar dan kursus. Antara sumbangan terbesarnya ialah mengasaskan penubuhan Kompleks Falak al-Khawarizmi — merangkumi Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan Falak di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka — serta merintis Projek e-Masjid yang menghubungkan masjid seluruh Negeri Melaka melalui laman web al-azim.com. Beliau turut menganggotai dan mempengerusikan pelbagai jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Fatwa, Jawatankuasa Melihat Anak Bulan, dan Panel Pengesahan Halal Negeri Melaka.
Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2001, 2004). Dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1997, dan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira pada tahun 2003. Dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433H oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2011.